Wednesday, October 7, 2009

Sejarah Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia

Silat Seni Gayong adalah pusaka warisan dari kesedaran seluruh hulubalang, pahlawan-pahlawan serta pendekar-pendekar bangsa Melayu yang bertanggungjawab, kasih sayang dan cinta terhadap agama, bangsa dan negara. Warisan pusaka ini diperjuangkan dari satu masa ke satu masa oleh turun temurun bangsa Melayu.

2.1 Gayong

Gayong ialah seorang hulubalang Melayu yang terbilang di zaman purba di rantau kepulauan gugusan rumpun Melayu dari Kerajaan Melayu Champa dan Monggolia. Dia dianggap keturunan anak cucu Raja Suran, hulubalang Gayong yang mempunyai ilmu kebolehan semulajadi zahir dan batin.

2.2 Seni Gayong

Seni Gayong telah dibawa oleh tujuh hulubalang panglima anak Raja Bugis keturunan Daeng Sulawesi yang terdiri daripada Daeng Kuning, Daeng Jalak, Daeng Merewak, Daeng Mempawah, Daeng Celak, Daeng Pelangi dan Daeng Telani.

Hulubalang tujuh beradik ini telah datang ke semenanjung Tanah Melayu bagi menyusun semula kekuatan orang-orang Melayu setelah kejatuhan empayar Melaka pada tahun 1511. Mereka telah mendarat di Air Kuning, Taiping, Perak. Setelah mendapat firasat mereka berpecah antara satu sama lain. Maka berpantunlah Daeng Kuning dengan berkata :

“Pecah Gayong di dalam dulang,

Dulang hanyut di lautan tujuh,

Perpecahan Gayong perpecahan sayang,

Di suatu masa balik berteguh”

Dijawab oleh seorang daripada mereka : “ Segayong, sekendi, seperigi, seperminum, sejalan, sejadi, sedarah. Sedaging, sepaduâ€, berinti kembali bersatu setelah penyusunan dapat diaturkan demi untuk kejayaan.

Maka berpisahlah seorang di Kedah, Selangor, Melaka, Johor, Pahang dan Terengganu. Hanya Daeng Kuning sahaja yang tinggal di Perak. Berkat hijrah dan jihad tujuh beradik ini maka bersemaraklah kembali semangat pejuang anak Melayu bangun menentang penjajahan di Tanah Melayu dari semasa ke semasa.

2.3 Seni Silat Gayong

Perjuangan Seni Gayong telah disambung oleh Seni Silat Gayong bagi meneruskan perjuangan para syahid yang telah gugur di medan perjuangan. Ia telah mula digerakkan di Pokok Asam, Taiping, Perak dan diasaskan oleh tiga beranak daripada anak cucu Daeng Kuning iaitu Daeng Uda Mohd Hashim, Daeng Meor Abdul Aziz dan Daeng Meor Abdul Rahman yang merasa bertanggungjawab atas amanah pejuang hulubalang Gayong tujuh beradik.

Mereka menubuhkan pasukan gerakan bawah tanah dinamakan Seni Silat Gayong supaya pihak penjajah tidak mecurigai pasukan ini dan menyangka bahawa ia hanyalah kumpulan mempelajari silat kebudayaan orang Melayu sahaja. Sedangkan matlamat asal adalah untuk menentang penjajah dengan menarik minat pemuda pemudi bermain silat. Melalui Seni Silat Gayong dapatlah semangat perjuangan ditiupkan.

Bermula dengan kaum keluarga dan pemuda pemudi di sekitar Pokok Asam, pada sekitar 1937 Seni Silat Gayong mula diajarkan kepada pemuda pemudi di daerah itu, seterusnya kepada orang-orang di bandar Taiping dan di istana Sultan Perak.

2.4 Lembaga Beradat Seni Silat Gayong

Pergerakan Gayong telah disusun semula oleh anak-anak Gayong di Perak khas bagi menerima ahli baru pada tahun 1938. Perbincangan telah dibuat dengan mengadakan peraturan khas dan beberapa perkara untuk mengemaskini perjalanan Seni Silat Gayong.

Dalam perbincangan ini telah disetujui penubuhan Lembaga Beradat Seni Silat Gayong yang bertugas menjaga pergerakan dan perjalanan silat seni Gayong dengan teratur supaya tidak bertelagah sesama anak-anak Gayong. Perbincangan juga bersetuju untuk mengembangkan Seni Silat Gayong ke seluruh Tanah Melayu.

Seterusnya Seni Silat Gayong terus bergerak dan berkembang ke seluruh Tanah Melayu dan Singapura dengan menjadikan Pokok Asam, Taiping sebagai pusat untuk penabalan, ilmu dan adat istiadat Gayong.

2.5 Pendaftaran Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia

Pada tahun 1963 Dato' Onn Jaafar dan keluarga serta pemimpin kemerdekaan Tanah Melayu yang lain telah berbicang di rumah Daeng Uda Mohd Hashim di Pokok Asam untuk mendafatarkan Seni Silat Gayong sebagai pertubuhan. Akhirnya pada 25/3/1963 Pertubuhan Seni Silat Gayong Tanah Melayu didaftarkan dan diluluskan dengan nombor pendaftaran 361.

2.6 Penubuhan Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia

Pada tahun 1977, berlakulah sejarah yang menyedihkan di dalam Silat Seni Gayong apabila Abdul Majid bin Mat Isa telah dipecat daripada jawatan Gurulatih Tertinggi oleh Dato' Meor Abdul Rahman. Namun begitu, atas sokongan dan kesedaran daripada anak-anak Gayong terutamanya di Kedah, Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia telah didaftarkan pada 25 Julai 1978 dengan nombor pendaftaran 1756.

No comments:

Post a Comment